Kelander Rasmi Aktiviti BPSM






Pada 24 - 25 Julai 2013 yang lalu, sebuah Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) telah diadakan di Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM). Bengkel yang bertempat di Bilik Kesidang, Blok Laksamana ini adalah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia selaku urusetia induk.

Bengkel ini merupakan bengkel lanjutan daripada bengkel pertama yang telah diadakan 11 - 12 Mac 2013 di JKMM. Sebanyak lima kumpulan KIK dari pelbagai Jabatan / Agensi Negeri Melaka telah menyertai bengkel ini. Antaranya adalah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Majlis Perbandaran Alor Gajah serta Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.

Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta membimbing kepada ahli kumpulan KIK agar dapat menghasilkan projek yang berkualiti. Bengkel ini juga adalah sebagai persediaan untuk kumpulan-kumpulan KIK tersebut ke Mini Konvensyen KIK Peringkat Negeri Melaka yang dijangka berlangsung pada bulan September tahun ini.


Bengkel selama dua hari itu telah dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman dari Lembaga Tabung Haji  iaitu Tuan Hj. Md. Suhaimi bin Md. Ali. Bengkel ini membantu setiap kumpulan KIK untuk membuat penambahbaikan pada projek yang sedia ada. Selain daripada itu, setiap kumpulan juga diberi pendedahan untuk menghasilkan buku projek dan slaid yang memenuhi kriteria KIK Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Pada 1 Ogos 2013, satu bengkel berkaitan Audit Dalaman Amalan Quality Environment Transformation System (QETS) telah diadakan di Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM). Bahagian Pengurusan Sumber Manusia selaku urus setia induk telah menganjurkan bengkel tersebut di Bilik Tun Fatimah di Blok Bentara dan dihadiri oleh pegawai-pegawai audit dalaman yang telah dilantik oleh kesemua Bahagian/Unit di JKMM.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman kepada semua pegawai audit dalaman Amalan QETS mengenai kepentingan audit dalaman serta memberi pengetahuan mengenai aspek dokumentasi dan praktikal. Selain itu bengkel ini juga telah dapat memberi keyakinan kepada juruaudit dalaman dalam melaksanakan tugasan audit dalaman yang akan diadakan secara berkala. Bengkel ini juga bagi menyemak semula kriteria audit pelaksanaan bagi memudahkan lagi pelaksanaan Amalan QETS kelak. 

Bengkel yang diadakan selama sehari ini telah dikendalikan oleh penceramah daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Encik Mohd Lizuan bin Abd. Latif. Antara perkara-perkara yang diberi pendedahan kepada peserta semasa bengkel adalah asas pengauditan, kriteria untuk pemarkahan audit, aspek penilaian, pelan aktiviti audit QETS, kaedah penilaian, penambahbaikkan kriteria penilaian, latihan audit dalaman dan kaedah mengurus keputusan audit.

Diharapkan dengan adanya bengkel ini dapat memberi kelancaran perjalanan aktiviti pelaksanaan QETS di Jabatan Ketua Menteri Melaka.






Unordered List