Kelander Rasmi Aktiviti BPSM







Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Institut Pengurusan Integriti Melaka (INSPIM) telah  menganjurkan Program Transformasi Minda (PTM) Siri 3 tahun 2013 pada 14 Mei 2013 hingga 21 Mei 2013 bertempat di Hang Tuah World Heritage Hotel, Melaka. Program ini adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan  Bil.14 Tahun 2012 bagi menggantikan Kursus Induksi Umum untuk tujuan pengesahan jawatan dalam perkhidmatan bagi pegawai dan kakitangan lantikan baru bertaraf tetap. Peserta bagi program ini adalah seramai 83 orang yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka.

Program PTM ini juga merangkumi modul ceramah yang akan dibentangkan oleh penceramah-penceramah jemputan yang terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,  Institut Integriti Malaysia (IIM), Unit Pemodenan Tadbiran & Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)  dan lain-lain. Modul yang disampaikan adalah berkait rapat dengan peraturan, garis panduan dan perkhidmatan yang perlu dipatuhi oleh penjawat awam.

Selain itu, peserta-peserta PTM juga didedahkan kepada program khidmat masyarakat atau lebih dikenali sebagai "Community Service Responsibility" (CSR). Program CSR adalah bertujuan mendekatkan para peserta kepada program-program kemasyarakatan bagi membantu meringankan beban masyarakat. Program ini juga dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada peserta PTM bahawa masih terdapat sebilangan kecil masyarakat yang hidup serba kekurangan dalam kemodenan dan kemajuan pada masa kini.

Peserta PTM telah menjayakan program CSR pada 19 Mei 2013 jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang di rumah Puan Munah binti Samad di Kampung Bukit Beruang, Melaka bersama ahli Jawatankuasa Kampung yang lain. Di antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pembersihan sekitar kawasan luar dan dalam rumah. Para peserta turut menyumbang barangan keperluan harian seperti kipas, rak pinggan-mangkuk serta barangan keperluan dapur. Encik Roslan Bin Mat Nong, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri Melaka telah berbesar hati menyumbangkan sebuah sinki dapur buat Puan Munah sekeluarga. Sumbangan-sumbangan yang telah diberikan mampu memberikan keluarga Puan Munah menikmati keluarga yang lebih selesa.

            Program CSR yang telah dianjurkan ini dilihat mampu menerapkan kepada peserta selaku penjawat awam sikap peka dengan keadaan masyarakat sekeliling seiring dengan hasrat Ketua Setiausaha Negara iaitu "Merakyatkan Perkhidmatan Awam" dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan. Justeru, melalui Kursus PTM dapat melahirkan modal insan yang berdaya tahan, pro-aktif dan kompetitif  di negeri Melaka khususnya.








0 komen:

Post a Comment

Unordered List